11 APRIL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan cuti khas tambahan persekolahan pada 19 April sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cuti itu bertujuan memberikan ruang kepada murid-murid dan guru membuat persiapan bagi negeri di kumpulan A dan B.
“KPM umumkan bahawa pada 19 April isytihar cuti khas untuk semua warga KPM. Jadi 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon KPM memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.