18 APRIL: Wisma Putra telah mengaktifkan ‘Operasi Sudan’ yang bertugas 24 jam sejak krisis pihak yang bertelagah di negara itu.
Pada masa ini, Pasukan Khas Operasi Sudan yang turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan dipelihara
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pasukan khas itu juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas, khususnya makanan dan ubat-ubatan.
“Situasi di Sudan terlalu kompleks. Ini melibatkan perbalahan politik di antara dua pihak utama Transitional Sovereignty Council. Berdasarkan laporan yang diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan
pertempuran bersenjata yang telah meletus sejak dua hari yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya keadaan di Sudan masih lagi tegang yang mana pertempuran di antara dua pihak bertelagah dilaporkan masih sengit, khususnya di kawasan strategik Khartoum.
Zambry berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka dan menyukarkan peracangan membawa keluar rakyat asing dari pelbagai negara, termasuk Malaysia.
“Wisma Putra juga telah berhubung dengan beberapa buah negara sahabat seperti Arab Saudi, Turki, Qatar, UAE, China, Amerika Syarikat, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan,” katanya.