Kerjasama Persekutuan dengan Pahang diperkukuh demi kelangsungan rakyat
19 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Pahang akan terus diperkukuh demi kelangsungan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.
Bagi membuktikan kesungguhan itu, Perdana Menteri maklumkan lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diperuntukkan kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik.
Sebahagian daripada peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan jalan Persekutuan yang meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, juga akan dikhususkan untuk negeri Pahang.
Katanya, tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan itu dapat dilakukan kerana hasil negara melonjak selepas ‘orang besar’ mula membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kerajaan turut memberi kelonggaran kepada kerajaan Pahang bagi menggunakan peruntukan MARRIS untuk membaik pulih kemudahan awam yang rosak akibat banjir seperti membeli jambatan bailey.
Ini mengambil kira Pahang antara negeri yang sentiasa dilanda bencana alam itu setiap tahun, yang akan menyebabkan pelbagai kerosakan pada struktur awam.
Anwar mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan Exco Kerajaan negeri Pahang.