3 MEI::Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
Menurut baginda, rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
Sultan Ibrahim menyuarakan kebimbangan itu susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.
“Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook baginda, hari ini.
Hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Kelmarin menerusi hantaran di Facebook beliau menyifatkan angka ‘126’ yang diperolehi sebagai signifikan.