20 MEI: Kerajaan komited menambah baik serta memperkasakan ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi tujuan itu menurut Perdana Menteri, antara langkah diambil termasuk menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan menerusi penambahbaikan Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara.
“Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan secara lebih tersusun, cekap dan teratur untuk semua aktiviti penggalakan pelaburan negara,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Tambah beliau, ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.
Dalam kenyataan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 pada Jumaat, Anwar berkata, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat yang dipengerusikan olehnya dan diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas.
MPN merupakan badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.
Menurut Anwar, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus serta penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik.