22 MEI : Kerajaan memutuskan golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak lagi akan menerima subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga tidak akan menaikkan tarif elektrik namun hanya yang layak bakal menerima subsidi.
“Langkah-langkah diambil ini termasuklah Rahmah dan pemberian subsidi yang lebih bersasar, yang tidak menaikkan kadar (tarif) elektrik dan (harga) diesel dan masalah yang dihadapi inflasi dapat dikawal.
“Pemberian subsidi yang lebih bersasar yang juga menjadi isu. Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan kepada T20. Saya nak jelaskan di sini. Untuk T20 sahaja iaitu rumah-rumah besar tidak akan diberi subsidi elektrik dan pangkalan data utama PADU (Pangkalan Data Utama) akan dapat menyelaraskan angka-angka semua yang disebut.
“Ini sama juga seperti bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah tetapi kepada T20 tidak akan ada lagi tambahan ataupun subsidi dari kerajaan. Mereka harus belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelumnya beliau menyenaraikan langkah-langkah kerajaan dalam melonjakkan ekonomi negara bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) berkait dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.
Dalam sesi sama, Anwar mengumumkan kelulusan bantuan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi membaiki Tasik Kenyir yang rosak teruk akibat banjir.
Selain itu, beliau memberitahu pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.6% pada suku pertama.
“Ini lebih tinggi dari Indonesia (5%), China (4.5%) dan Vietnam (3.3%). Ini juga lebih kukuh daripada unjuran bank negara sebelumnya,” katanya.
Oleh NUR EISYA