12 Ahli Parlimen dilantik Ahli PAC
24 MEI: Seramai 12 Ahli Parlimen, dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi Penggal Parlimen Ke-15 yang di Pengerusikan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Lantikan itu melengkapkan keanggotaan PAC seramai 14 orang, terdiri daripada sembilan Ahli Parlimen kerajaan dan lima pembangkang.
Pemilihan anggota PAC dibuat Jawatankuasa Pemilih, semalam, dengan Mas Ermieyati daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, bulan lalu dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai Naib Pengerusi.
Mas Ermieyati Samsudin
Ahli PAC yang baru dilantik ialah Syahredzan Johan (PH-Bangi), Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju).
Noraini Ahmad
Selain itu, Dr Richard Rapu (GPS-Betong), Azli Yusof (PH-Shah Alam), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Datuk Ali Baju (PN-Saratok) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).
PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada Ketua Audit Negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.
Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memanggil menteri, orang awam, penjawat awam dan pegawai lain ke jawatankuasa itu untuk disoal siasat, selain membuat susulan terhadap penemuan audit awam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ketika memaklumkan mengenai pelantikan itu di Dewan Rakyat, hari ini, meminta semua Ahli Parlimen memberikan kerjasama yang baik kepada 12 anggota baharu PAC berkenaan.
“Saya ucapkan syabas dan mereka membawa satu tanggungjawab berat, maka bantulah mereka,” katanya.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, semua 12 ahli PAC yang dipilih mempunyai pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera, selain latar belakang akademik dalam bidang pengurusan, media dan kewangan.