LIMA’23 dijangka kukuhkan Malaysia hab aeroangkasa, maritim
24 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) yang bermula semalam dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.
Beliau berkata ia akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.
Katanya lagi, LIMA ’23 merupakan acara berfokuskan masa depan dan bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global AS$10 trilion menjelang 2030.
Dalam pada itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, LIMA ’23 mampu mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah acara yang merangkumi sektor aeroangkasa dan maritim dari aspek ketenteraan dan awam.
Dalam ucapannya, beliau turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.
Anwar Ibrahim
“Menakjubkan dalam tahap sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada Malaysia dan saya juga harus menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kita dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam majlis ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita,” katanya.
Pagi tadi Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawat LIMA ’23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Beliau melihat pameran statik yang mempamerkan beberapa aset pertahanan udara antaranya F/A18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia di landasan terbang atau tarmac berhadapan MIEC.
Malah beliau turut meluangkan masa untuk bertemu dengan barisan pasukan udara yang terlibat dalam pertunjukan aerobatik membabitkan lima negara iaitu Indonesia, China, Korea Selatan, Russia, Emiriah Arab Bersatu.
Beliau kemudian melawat beberapa reruai di dalam MIEC sebelum menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut berlangsung di pusat pameran berkenaan.
LIMA ’23 yang bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ bermula semalam hingga 27 Mei ini di mana edisi tahun ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial).
Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19.