25 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir ke Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam yang turut disertai Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Ali Juma’ah, Mantan Mufti Agung Mesir dan Al-Allamah Habib Umar bin Hafidz, Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustafa, Tarim, Yaman.
Muzakarah yang diadakan bersempena dengan Festival Turath Islami Selangor turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Menteri Luar Negeri, Menteri Pendidikan, Menteri Agama, para agamawan dari pelbagai latarbelakang dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Syeikh Ali Jum’ah antara lain menyatakan perubahan yang baik oleh gandingan Ulama-Umara harus dimulakan daripada diri sendiri (ibda’ bi nafsi).
Beliau juga mengingatkan agar semua pihak khususnya Ulama-Umara harus istiqamah pada waktu susah dan senang.
Habib Umar juga telah menyentuh kepentingan tarbiah keluarga melalui uslub yang betul sebagai asas kepada perkara yang lebih besar.
Katanya, setiap kejayaan dapat dicapai hanya dengan pertolongan Allah SWT.
“Saya menekankan kepentingan untuk meneruskan majlis seperti ini yang menjunjung tradisi akliah melalui budaya ilmu agar memberi pencerahan dan kesedaran kepada masyarakat.
“Keutamaan juga harus diberikan kepada pendekatan dakwah yang berhikmah melalui uslub atau manhaj yang tepat serta tidak mengelirukan,” kata Anwar.
Sumber Facebook Anwar Ibrahim