25 MEI: Kerajaan memberi jaminan campur tangan Persekutuan dalam isu bekalan air di Sabah yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini tidak akan mengganggu-gugat bidang kuasa kerajaan negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata Sabah tidak perlu risau susulan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jawapan kepada komponen pertama dalam soalan tadi ialah tidak kerana air merupakan salah satu bidang kuasa negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan jadi Tawau (Low Su Fui) tidaak perlu risau.
“Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tambun (Anwar Ibrahim) akan sentiasa menghormati hak dan kepentingan negeri termasuk bidang kuasa tambahan Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sesi waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelumnya, Ahli Parlimen Tawau itu meminta perdana menteri menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air di Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini termasuk pendekatan mengambil alih pengurusan air di Sabah dikhuatiri bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam soalan sama, Low turut membangkitkan soal peranan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di JPM dalam memastikan komitmen yang disuarakan Anwar itu dapat dilaksanakan.
“Berkaitan dengan peranan BHESS dalam isu ini, BHESS tidak mempunyai peranan secara langsung kerana isu berkaitan air ini bukan isu berbangkit dalam isu tertangguh dalam platform rundingan MA63 dan isu air juga berkait rapat dengan akta fungsi-fungsi menteri khususnya Kementerian Kewangan (MoF) dan juga Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC).
“Difahamkan rundingan sudah pun bermula sebaik komitmen kerajaan (disuarakan) perdana menteri, Menteri NRECC sudah pun mengadakan rundingan dengan kerajaan Kelantan dan kerajaan negeri Sabah sedang memuktamadkan wish list mereka untuk dikemukakan kepada perdana menteri dan kementerian-kementerian yang bertanggungjawab. Insya-Allah kerajaan persekutuan tidak akan mengganggu-gugat hak dan bidang kuasa kerajaan negeri Sabah, Sarawak,” katanya.
Beliau turut menolak keperluan mewujudkan satu kementerian khas berkait Sabah dan Sarawaka kerana dilihat akan berlaku pertindihan kuasa dengan kementerian- kementerian sedia ada.
“Kita perlu melihat kepada objektif dan mandat penubuhan BHESS itu sendiri yang ditubuhkan pada Mac 2020. Mandat penubuhan utk jadi urus setia isu-isu berbangkit daripada MA63. Kedua kita perlu melihat juga berkaitan dengan akta dan fungsi-fungsi menteri. Jadi isu-isu yang berbangkit dalam MA63 juga akhirnya isu-isu tersebut disusul dan tanggungjawab itu terletak pada kementerian-kementerian khusus MoF, Kementerian Kerja Raya dan sebagainya.
“Bagi saya tidak perlu ada pertindihan kepada bidang kuasa tersebut, biarlah BHESS ini berfungsi sebagai sekretariat dan urus setia untuk kita menyusulkan rundingan kerajaan Persekutuan dengan Sabah Sarawak tanpa mengganggu-gugat fungsi setiap kementerian.
“Kita perlu lihat juga semangat…prinsip MA63 untuk kita lebih memberi kuasa kepada negeri. Begitu juga penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah Dan Sarawak. Setakat ini saya fikir kita perlu junjung komitmen tersebut tanpa perlu kita tubuhkan kementerian khusus kepada Sabah dan Sarawak yang akhirnya kelak mungkin bukan hanya boleh menyebabkan pertindihan (kuasa) kementerian di Persekutuan tetapi juga menjejaskan kuasa dan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Oleh NUR EISYA