MBM perlu pastikan penyertaan wanita saran PM
29 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Majlis Belia Malaysia (MBM) memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk kepimpinan.
Beliau juga menegaskan belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan menolak segala amalan rasuah.
“(MBM perlu) memberikan laporan mengenai rancangan untuk menambah keanggotaan para belia dan memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30 peratus serta memperhebat program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini.
“Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka (yang) tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah, kezaliman dan angkat martabat rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM5 juta setahun kepada MBM bagi memperkasakan golongan muda untuk memacu negara.
“Kesungguhan pimpinan MBM termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun. MBM istimewa kerana badan-badan yang mewakilli persatuan, kaum, agama boleh menyatukan para belia dengan semangat perpaduan.
“MBM penting dalam menyelamatkan negara kita dalam membina kekuatan baharu,” katanya.
Namun katanya,
MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju menerusi peruntukan yang diumumkan itu dalam tempoh sebulan ini.
Beliau turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia selari dengan dasar nasional terkini.
MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 memberikan penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif.
Model ini disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa hadapan.
Selain itu beliau mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd dan Petronas dilibatkan dalam program latihan belia yang memberikan tumpuan pada aspek kepemimpinan.