31 MEI: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasarkan 100,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) akan menjadi ‘huffaz cilik’ dalam masa tiga tahun.
Inisiatif di bawah Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas itu bakal dilaksanakan pada Julai depan dengan kerjasama Yayasan Pahang selaku rakan strategik.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia merupakan nilai tambah bagi modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) di bawah agensi itu bagi menanam minat anak-anak menghafal dan mencintai al-Quran dalam usia muda sebagai persiapan sebelum masuk tahun satu sekolah.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Yayasan Pahang membantu Kemas dari aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, perkongsian teknik hafazan terbaik, pemantauan dan latihan.
Katanya, program itu memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah serta pengajian al-Quran bersifat kontemporari.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi libat urus Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas Bersama Masyarakat 2023, di hari ini.
Ahmad Zahid optimis pelaksanaan program ini cukup efektif kerana murid akan menguasai hafazan surah lazim Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab serta Tadabbur.
Selain itu, program baharu Kemas itu juga menggabungkan elemen 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.