7 JUN: Semua bakal jemaah haji dan seluruh rakyat perlu mengambil pengajaran dari kesatuan dan perpaduan ummah dalam perhimpunan terbesar manusia di Tanah Suci.
Saranan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan bertitah perkara itu harus dijadikan tauladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan dan ikatan ukhuwah di negara ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, perhimpunan haji merupakan satu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agong untuk dijadikan tauladan dan pengajaran.Titah baginda, menjadi tetamu Allah dalam sebuah perhimpunan terbesar umat Islam ini mengajar untuk bersabar, bersifat toleransi dan juga saling menghormati sesama tetamu Allah yang lain.
“Perbezaan warna kulit, bahasa, bangsa, dan kelainan jurang pangkat serta darjat bukan lagi menjadi jurang pemisah antara umat Islam yang berhimpun di tanah suci.
“Perhimpunan haji mengajar kita untuk bekerjasama demi untuk mencapai matlamat yang diidamkan serta mengajar kita akan nilai-nilai kehidupan mulia demi membentuk kesatuan ummah,” katanya.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah Haji musim 1444H/2023M di Kompleks Tabung Haji.
Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan dan Lembaga Tabung Haji yang sentiasa mengambil berat dalam menjaga kebajikan dan keselesaan para jemaah haji.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda berharap Lembaga Tabung Haji terus melaksanakan peranannya sejajar dengan pengiktirafan sebagai sebuah model pengurusan haji yang
inovatif.
Titah baginda, Tabung Haji disaran terus mengambil langkah proaktif dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur kepada jemaah haji negara.
“Beta turut menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas segala kerjasama dan bantuan
yang diberikan.
“Penghargaan sama diberikan kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al-Sulaim atas sokongan berterusan kepada Tabung Haji dan jemaah haji Malaysia dan berharap
hubungan utuh antara dua negara berkekalan untuk manfaat para jemaah haji,” katanya.