9 JUN: Walaupun wujud desas-desus untuk menggantikan kepimpinan negara, namun Barisan Nasional (BN) dan UMNO terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Menegaskan pperkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersama parti-parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan tidak sesekali akan membenarkan perkara itu berlaku dan terus mempertahankan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“UMNO berpendirian terutama pendirian rakan-rakan Majlis Tertinggi dan rakan-rakan BN, kita tetap mempertahankan Kerajaan Perpaduan untuk kemantapan politik negara kita.
“Mana-mana ada yang menggugat, kita bersama-sama parti lain untuk segera mempertahankan Kerajaan Perpaduan bertahan Insya Allah sehingga PRU16,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid membidas pihak tertentu yang menggunakan isu jemputan tetamu termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) ke Dewan Merdeka sebagai isu yang menjadi bahan sembang kari mereka.
Beliau menggelarkan kumpulan itu dengan ungkapan “great minds discuss ideas, small minds gossip about others” (mereka yang berjiwa besar berbicara tentang idea, mereka yang berjiwa kerdil suka bergosip).
“Soal gambar dalam persiapan dewan mengikut kesesuaian majlis pun, mereka nak ambil port (tempat). Alangkah kerdilnya pemikiran mereka berbanding kita.
“Bagi kita Kerajaan Perpaduan adalah gagasan besar, Masyarakat Madani adalah falsafah besar dan mendepani landskap politik baharu, adalah anjakan besar dan embuktikan kita sentiasa memikirkan agenda dan idea hebat buat negara,” katanya