9 JUN: Harga simen mencatatkan kenaikan dengan indeks harga seunit bahan binaan itu meningkat 1.3 peratus pada Mei 2023 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, antara faktor yang menaikkan harga pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti lonjakan harga bahan mentah.
Ia termasuklah batu kapur, arang batu (yang digunakan dalam proses pembakaran), tenaga dan kos penghantaran.
“Menurut laporan daripada Commodity Market oleh Bank Dunia, harga tenaga meningkat 5.7 peratus pada April 2023, diterajui oleh minyak mentah (7.8 peratus) dan arang batu (3.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan itu lagi, terdapat bahan lain yang turut mencatatkan kenaikan harga iaitu pasir, batu-bata dan dinding.
“Peningkatan tertinggi dalam indeks adalah bagi batu bata dan dinding, yang mencatatkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus, diikuti oleh simen (7.8 peratus) dan bahan siling (7.4 peratus) pada Mei 2023 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.