9 JUN : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Ismail Sabri menerusi hantaran Facebook miliknya berkata, beliau menyembah maklum kepada baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai program-program dirancang di bawah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
YKM bertanggungjawab membantu anak-anak yatim yang kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 danibu bapa yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya serta bencana yang lain dari aspek kebajikan dan pendidikan.
“Patik menjunjung kasih di atas kesudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tuanku untuk mencemar duli berangkat ke program YKM khususnya untuk bersama anak-anak yatim dalam waktu terdekat.
“Patik juga menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menerima patik menghadap dan atas keprihatinan Tuanku untuk membantu anak-anak yatim YKM,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Al-Sultan Abdullah sentiasa dirahmati ALLAH SWT, sihat walafiat dan dipanjangkan umur serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya.