Kadar pengangguran semakin berkurang
9 JUN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran bulan April 2023 kekal pada 3.5 peratus, namun bilangan penganggur terus berkurangan kepada 586,900 orang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh kekal stabil dengan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh yang disumbangkan oleh pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja dan penurunan berterusan dalam bilangan penganggur.
“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70 peratus, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya.
DOSM turut melaporkan perbandingan bulan ke bulan menunjukkan bahawa bilangan penduduk bekerja kekal pada trend positif pada April 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.25 juta orang, berbanding 16.22 juta orang pada Mac.
Sementara itu, ia berkata bilangan penganggur pada bulan itu terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 586,900 orang, menjadikan kadar pengangguran bulan April 2023 kekal pada 3.5 peratus.
Mengenai kedudukan guna tenaga, DOSM berkata pada bulan itu, kategori pekerja yang merangkumi 75.5 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.28 juta orang.
“Trend yang sama dilihat dalam bilangan penduduk bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 2.92 juta orang berbanding 2.91 juta orang pada Mac 2023 dalam tempoh yang sama,” katanya.