9 JUN: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) susut sebanyak AS$2 bilion dalam tempoh 16 hari.
Ia daripada AS$114.7 bilion pada 15 Mei kepada AS$112.7 bilion setakat 31 Mei 2023.
Menurut BNM, paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Paras tersebut bagaimanapun lebih rendah berbanding 4.9 import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek, pada 15 Mei lalu.
BNM berkata, komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$100.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).
“Aset berjumlah RM607.50 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM496.79 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.49 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM69.28 bilion),” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, modal dan liabiliti pula terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM164.76 bilion), mata wang dalam edaran (RM159.22 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM193.89 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM9.12 bilion), deposit-deposit lain (RM38.01 bilion), kertas Bank Negara (RM9.57 bilion), peruntukan SDR (RM28.72 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.07 bilion).