10 JUN: Pembaharuan dan pembetulan terhadap kejatuhan ekonomi perlu dibuat segera bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu perlu dibuat pimpinan
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) susulan Malaysia kini berdepan kemerosotan ekonomi di samping nilai ringgit serta kejatuhan penarafan rating di samping merundumnya kedudukan fiskal negara.
Memberi contoh saiz ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah menguncup manakala hutang negara mencecah RM1 trilion berbanding RM686 bililon ketika pentadbiran BN, jelas Johari lagi, Kerajaan Perpaduan perlu memulihkan keadaan itu menjelang 2027.
“Sebab itu perlu bersama-sama dengan Presiden dan menteri-menteri mewakili BN di samping memberikan sokongan padu dan jamin kestabilan politik negara.
“Saya percaya team BN bersama PH ini baik pulih ekonomi menjelang 2027. Insya-Allah kita dapat kejayaan lebih cemerlang,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Joharit turut mencadangkan UMNO supaya mengumumkan nama calon lebih awal supaya ke semua jentera boleh menerima keputusan yang dibuat oleh parti tentang calon yang bertanding di sesebuah kawasan.
“Saya nak cadangkan kepada Presiden, kita dalam kedudukan kalah. Kalau boleh, kita kena kenal pasti calon nak bertanding, kita letakkan mereka, bagitahu mereka, dalam empat tahun setengah ini, kita review. Kalau dia tak perform, kita cari calon lain,” katanya.
Johari dalam masa yang sama turut mengulas, secara tradisinya, setiap ketua bahagian akan menjadi calon di sesebuah kawasan.
Namun bila terdapat calon selain daripada ketua bahagian, perseteruan antara jentera perlu diselesaikan segera kerana ia antara elemen penting dalam mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Bila wujud masalah, bila ada calon selain daripada ketua bahagian, tidak boleh juga nak salahkan ketua bahagian. Ada ketua bahagian yang buat kerja siang malam, tiba-tiba tidak dapat menjadi calon, dia kecewa. Kalau dia tidak kecewa, jentera dia mungkin kecewa.
“Calon baru ini datang, kalau kalah bukan sebab calon baru itu tidak bagus tetapi kerana jentera kita, kita tidak dapat susun dengan baik,” ujarnya.