10 JUN: UMNO akan terus memperjuangkan nasib pekerja di sektor ekonomi gig di seluruh negara,
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian sebaik sahaja
menerima memorandum agar Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) ditubuhkan segera.
“Memorandum ini dihantar kepada UMNO untuk membela nasib pekerja dalam industri ekonomi gig.
“Namun, saya melalui Pengerusi Biro Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, sudah membawa perkara ini lebih awal.
“Mereka hari ini, datang bukan sekadar hantar memorandum tetapi berterima kasih kerana membawa perkara ini. UMNO akan terus memperjuangkan nasib pekerja gig di seluruh negara, insya-Allah,” katanya.
Memorandum itu diserahkan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor, di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar semalam berkata, penubuhan SEGiM serta pelan FELDA 5.0 antara lima cadangan dikemukakan parti itu untuk diambil perhatian Kerajaan Perpaduan bagi menangani keresahan rakyat berhubung pembangunan ekonomi di negara ini.
Beliau berkata, penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu, bermula daripada peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.