12 JUN: Jumlah kematian individu dalam tahanan polis pada tahun lalu menurun sebanyak 48% kepada 24 kes berbanding 46 kes bagi tahun sebelumnya.
Catatan angka tersebut adalah sejak Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan Januari tahun lepas.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada keseluruhan kematian yang disiasat tahun lepas, USJKT mendapati dua kes mempunyai unsur jenayah iaitu satu di Taiping, Perak (sudah didakwa dan dalam proses perbicaraan) manakala satu lagi di Kelantan (dalam proses siasatan).
“USJKT juga akan membentang hasil laporan, siasatan serta perkembangan setiap kes kematian orang dalam tahanan polis kepada mesyuarat dengan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) dan SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan) yang diadakan tiga bulan sekali.
“Mesyuarat ini bertujuan untuk melaksanakan fungsi semak dan imbang bagi siasatan kes kematian individu dalam tahanan polis dan menambah baik pengurusan tahanan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan kepada Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat berhubung langkah Kementerian Dalam Negeri dalam menguruskan kes kematian dalam tahanan polis.
Shamsul Anuar berkata, menerusi penubuhan USJKT, pelbagai penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan polis dilaksanakan antaranya pemeriksaan lokap dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) lokap.