12 JUN: Naratif Ekonomi Madani bakal dilancarkan pada Ogos depan sebagai dokumen reformasi ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai panduan kepada hala tuju ekonomi negara bagi memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan.
Bagaimanapun katanya lagi, kerajaan akan meneruskan dulu dasar sedia ada sebelum dokumen tersebut diperkenalkan.
“Kita ada penganalisis ekonomi yang kita cerakin secara ringkas dalam Buku Madani tetapi Kementerian Ekonomi, kementerian terlibat dan sektor swasta, bila ada proses libat urus ini, sudah tentu akan menentukan beberapa dasar termasuk penggunaan tenaga, keutamaan pelaburan dan ekonomi hijau.
“Jadi kita akan tumpukan bidang-bidang yang dirasaikan perlu. Naratif (Ekonomi Madani) akan membuat kerangka besar dan umum disusuli beberapa tiang nadi ekonomi yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut berkata pengisiab berhubung dokumen reformasi berkenaan dijangka akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan datang dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa termasuk di ekonomi dunia.
“Melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja untuk meningkatkan gaji pekerja secara berkala, ini selari dengan langkah yang kita ambil sebelum ini iaitu soal penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu).
“Padu sekurang-kurangnya mengumpulkan semua data yang kadang-kadang berbeza tetapi di bawah penguatkuasaan jabatan dan kementerian yang begitu banyak,” tambahnya.