12 JUN: Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan buat kali kedua.
Sebelum ini, ia dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin pada tahun lalu.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau mengambil maklum respon mengenai RUU berkenaan daripada ahli parlimen, badan professional dan badan bukan kerajaan (NGO) serta sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.
“Adalah penting untuk RUU ini mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Undang-undang dicadangkan bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Pada 26 Mei lalu, Dr Zaliha menyifatkan perkara itu kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan Kabinet untuk RUU terbabit dibentang.
Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, beliau berkata KKM telah memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu.
Lantas katanya, RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible.