15 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie, meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Pemergian Allahyarham dikongsikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi Facebook beliau.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 11.23 malam di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Muhammad Sanusi yang juga Yang Dipertua PAS Sik turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Perkhabaran sedih itu juga turut dikongsikan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya di laman sosial Facebook miliknya.
“Semoga Allah menerima segala amal jihad Almarhum dan dikumpulkan bersama solihin,” katanya.
Awal bulan lalu, Mohd Isa dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
Allahyarham yang juga ADUN Belantik selama tiga penggal menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 2,574 undi.