15 JUN: Perjudian atas talian yang dilindungi ‘naungan politik’ menjadi kekangan untuk kerajaan membanteras kegiatan tersebut, dilihat mulai menjadi barah dalam kalangan masyarakat.
Menegaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, maka sebab itu, pengendali platform berkenaan sentiasa dilindungi dan kebal daripada sebarang tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka.
“Ya, memang wujud elemen naungan politik keatas players ini, ada. Dari situlah datang protection dan influence, dari situlah datangnya rasuah, dari situlah wujudnya untuk mengadakan dan membaharui tekad untuk memerangi perkara itu habis-habisan.
“Players dinaungi dan dia membalas political master, political master melindungi supaya tindakan tidak diambil, maklumat dibocorkan, polis faham sungguh tentang patern ini wujud, sebab itu saya imbas sewaktu Tambun menyebut elemen ini, kemudian SPRM buat siasatan dan tiada maklumat, dari radar yang kita kesan, ini memang memerlukan perhatian berat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) dalam soalan tambahan meminta kerajaan menjelaskan adakah terdapat usaha melindungi pengendali platform judi online oleh mana-mana pemimpin politik di negara ini.
Malah katanya lagi, pihaknya akan menyemak kembali jika terdapat kelulusan untuk lesen baharu atau wujud naungan ini yang melibatkan pemimpin politik tertentu, sekali gus tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut berkata, kerajaan komited untuk membuat perubahan dalam akta yang tidak pernah dipinda berkaitan perjudian sejak 1953.
Katanya, akta yang ada pada masa kini tidak membolehkan pengendali platform perjudian atas talian dikenakan tindakan di mahkamah.
“Akta 1953 ini tidak pernah dipinda, ada usaha pada 2019, tetapi sangat perlahan. Saya akan bincang dengan Perdana Menteri kerana akta ini juga di bawah kawal selia Kementerian Kewangan.
“Perlu diingat, judi pada masa dahulu, berlaga ayam sahaja. Sekarang judi atas talian, jika terus menggunakan akta ini jika mereka cabar di mahkamah, mereka akan menang. Jadi, kita ada tekad politik untuk pinda,” ujarnya lagi.
Setakat Mei 2023, jelas Saifuddin lagi, KDN telah menyekat 2,119 laman web perjudian atas talian telah disekat.