16 JUN: Hampir 30,000 calon yang direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 adalah termasuk calon persendirian yang berdaftar untuk mengambil hanya satu atau dua mata pelajaran.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, berkata mengikut rekod kementerian itu, jumlah tepat sebenarnya adalah sebanyak 29,663 orang daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar.
Tegasnya lagi, tidak timbul soal percanggahan angka dengan jumlah yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
“Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) bahawa hanya 14,858 atau 3.8 peratus calon tidak hadir peperiksaan itu sebenarnya ialah calon yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) dalam soalan tambahan itu meminta kementerian menjelaskan mengenai percanggahan antara angka keciciran pelajar pada SPM 2022 yang disebut Perdana Menteri dengan data KPM.
Selasa lepas, Anwar mendedahkan seramai 30,000 calon direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, namun semalam Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa Perdana Menteri memesongkan fakta sebenar tentang jumlah berkenaan.