15 JUN: Operasi lanjut pencarian pesawat MH370 tidak disambung buat masa ini berikutan tiada petunjuk baharu diperoleh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun operasi pencarian selanjutnya akan diteruskan jika ada petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.
Selain itu, katanya, sebarang operasi pencarian pesawat MH370 akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Kerajaan China dan Australia, sekiranya ada bukti baharu berkaitan kapal terbang itu ditemui.
“Aspirasi untuk mencari pesawat MH370 tidak akan diabaikan. Sekiranya maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh, maka operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan oleh kerajaan.
“Sebarang perbincangan lanjut berhubung penyambungan semula operasi pencarian pesawat MH370 akan diadakan dengan Kerajaan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai, yang mungkin membawa kepada pencarian baharu bagi pesawat yang hilang itu.
“Dalam hubungan ini, sehingga kini tiada sebarang maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperolehi Kementerian Pengangkutan berhubung sebarang penemuan yang membolehkan operasi pencarian pesawat MH370 disambung semula,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Chong Zhemin (PH-Kampar) yang bertanya sama ada Malaysia akan meneruskan usaha mencari serpihan MH370 berdasarkan tawaran syarikat Ocean Infinity yang sedia meneruskan carian serpihan pesawat itu tanpa sebarang fi jika pencarian tidak berjaya.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sebelum perjalanannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dua minggu kemudian.
Usaha antarabangsa untuk mengesan pesawat itu digerakkan sejak itu dengan kos AS$200 juta (RM925 juta) membabitkan 120,000 meter persegi, namun kehilangan MH370 masih menjadi misteri sehingga kini.
Baru-baru ini, kes MH370 kembali hangat diperkatakan selepas seorang pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia bertindak keterlaluan apabila memperlekeh Malaysia dengan jenaka yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat itu dalam satu persembahan komediri di New York.
Jenaka keterlaluan itu turut menyinggung perasaan waris tragedi berkenaan serta kebanyakan rakyat Malaysia yang bertindak ‘menyerang’ pelawak itu di media sosial.
Susulan insiden itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, menyampaikan permohonan maaf Kerajaan Singapura, dan memaklumkann Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura