16 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menyerahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai isu serbuan ke kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Katanya, badan penyiasat berkenaan berhak melakukan siasatan lanjut dan beliau tidak tidak dimaklumkan tentang isu penggeledahan yang ingin dibuat.
“Itu urusan LHDN dan badan penyiasat, saya tidak dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan LHDN dikatakan menyerbu kediaman Hamzah pada pagi Selasa lalu susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.
Malah, pasukan serbuan turut dikatakan merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun milik Ahli Parlimen Larut itu.
Sebelum ini, Hamzah mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkait satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, keterangan itu dibuat susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah.
Hamzah juga mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya dan jelas mahu merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Ditanya mengenai desas-desus kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini bercuti selama dua minggu, Anwar berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.
“Tiada pula,” jawabnya ringkas.