16 JUN : Jumlah kes COVID-19 menurun 15.7 peratus iaitu bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun lalu.
Berdasarkan angka yang dicatat, sebanyak 3,814 kes dicatat berbanding 4,523 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya (ME22/2023).
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan awam menurun kepada 3.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 23/2023 daripada 4.4 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 22/2023 iaitu bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun.
Beliau turut berkata, peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak tiga peratus pada ME 23/2023 berbanding ME 22/2023, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula menurun sebanyak satu peratus pada tempoh sama.
“Pada ME 23/2023, sebanyak 87 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 75 kes varian membimbangkan (VOC) dan 12 kes varian yang mendapat perhatian (VOI),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata lagi, pecahan kes merangkumi 16 kes di Melaka, 12 kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tujuh), Sarawak (enam), Johor (empat), Wilayah Persekutuan Putrajaya (tiga), masing-masing dua kes di Perak, Negeri Sembilan, dan Sabah serta Perlis (satu).
Beliau berkata sehingga ME 22/2023, hasil aktiviti pemantauan gejala demam selesema (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 114 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 13.44 peratus, manakala sebanyak 9.26 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19.