16 JUN: 15 syor perlu dipenuhi sebagai penambahbaikan melalui Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Ia bagi tujuan memperkukuh kedudukan negara yang kini disenarai pada Tier 2 Pemerhatian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu boleh dilaksanakan Malaysia bagi tujuan penilaian tahun berikutnya iaitu bermula 1 April lalu hingga 31 Mac 2024.
“Kita menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya dinaiktaraf ke Tier 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaharu Jabatan Negara AS itu, namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan kedudukan ke tahap tier 2
Ini kerana, peningkatan dalam ranking ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Terdahulu, Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 itu menyenaraikan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tier 2 yang merujuk negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam memerangi pemerdagangan manusia, tetapi sedang melakukan usaha ke arah itu.
Malaysia berada pada Tier 2 pada 2017 dan Senarai Pemerhatian Tier 2 dari 2018 hingga 2020, namun berada di Tier 3 pada 2021 dan 2022.
Negara lain dalam senarai pemerhatian ialah Mozambique, Mesir, Iraq, Eswatini, Brunei dan Vietnam.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata laporan itu menyebut Malaysia sudah membuat pencapaian signifikan antaranya peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam
Selain itu, terdapat juga peningkatan bilangan mangsa, pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit, peningkatan bilangan latihan dan juga peningkatan perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan manusia.
Mengenai 15 penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan Malaysia digariskan Jabatan Negara AS untuk tahun berikutnya, beliau berkata antaranya meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah.
“Selain itu, laporan ini juga menyarankan agar diberi penekanan kepada kes pemerdagangan manusia yang membabitkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi,” katanya.