17 JUN: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan logo masing-masing untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan perkara itu dan tiada pertembungan di antara mereka.
Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun belum diputuskan untuk PRN Terengganu.
“Setakat ini, isu logo masih dalam perbincangan untuk PRN Terengganu. Di Kelantan, kita akan pakai logo PH, BN pakai logo mereka,” katanya selepas melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Teluk Renjuna, hari ini.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Nik Nazmi berkata, pengagihan kerusi di Kelantan sudah selesai dilakukan.
“Soal pengagihan kerusi agak cepat dapat diselesaikan dan kita kini berada dalam mood yang sangat positif,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pembahagian kerusi bagi PRN Kelantan memutuskan 14 kerusi akan ditandingi calon PH dan 31 kerusi lagi untuk calon BN.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, dilaporkan berkata, pengagihan kerusi itu dibuat menerusi satu mesyuarat dan setakat ini, uruskan berkaitan perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah.