17 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung pendedahan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini siasatan juga sedang dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Berhubung dakwaan berkaitan dana judi, kita ketika ini akan bekerjasama dengan PDRM untuk menyiasat tohmahan itu.
“Malah saya sahkan memang kita menerima laporan dan maklumat-maklumat tertentu,” ketika berucap dalam Perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, semalam berkata, mereka berkongsi maklumat bersama SPRM dalam menyiasat pendedahan pembabitan pemimpin politik dengan aktiviti judi dalam talian.
Kata Acryl, perkongsian itu bertujuan untuk menentusahkan pendedahan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam, selain menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Semalam, ketika menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Saifuddin mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.