UMNO entiti penting pastikan parti kekal relevan
17 JUN: Institut UMNO diyakini mampu menjadi entiti penting dalam mengumpulkan pemikir untuk menggarap idea serta pandangan supaya parti itu kekal relevan.
Presiden UMNO itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, malah penubuhan institut itu juga turut bertujuan memperkasa parti dalam aspek intelektual dan sebagai platform bagi meningkatkan pengetahuan ahli mengenai falsafah serta sejarah perjuangan, kesedaran dan kefahaman politik selain membentuk kesatuan fikrah.
“Perbincangan bersama Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara Profesor Emeritus Dr Kamaruddin M Said telah pun diadakan bagi melihat gerak kerja dan progres Institut UMNO,” menurutnya.
Beliau berkata demikan menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
Januari lepas, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Kamaruddin bagi mengetuai Institut UMNO, manakala Profesor Datuk Dr Abdul Mua’ti@Zambri Ahmad dilantik sebagai timbalan beliau.