18 JUN: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya parti politik menjaga tingkah laku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ia bertujuan bagi menunjukkan cara berkempen secara sihat serta akhlak yang baik kepada rakyat.
Baginda bertitah, politik kebencian seperti maki hamun dan caci maki perlu dielak agar tidak menjejaskan perpaduan ummah yang bermazhabkan Imam Syafie serta berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Beta berharap agar tidak berlaku di Terengganu pada pilihan raya kali ini budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun dan sebagainya.
“Perbezaan politik tidak sepatutnya sesekali menggugat asas ini dan kita seharusnya belajar serta mengambil iktibar daripada kejatuhan empayar Islam Uthmaniyah di Turkiye dan Andalusia di Sepanyol,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-61 di Istana Syarqiyyah, hari ini.
Baginda turut bertitah selepas PRN, rakyat diharap dapat kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling menghormati manakala kerajaan negeri boleh memperkasa sektor pelancongan bagi meningkatkan penjanaan ekonomi Terengganu serta penduduknya.
Titah baginda, di samping pelancongan pulau yang dianggap sinonim dengan Terengganu, produk baharu di tanah besar juga perlu diselaras dengan lebih berkesan bagi memastikan sektor itu terus berkembang.
Menurut baginda, Terengganu yang memiliki jajaran pantai terpanjang di Malaysia turut berpotensi mewujudkan taman kenderaan rekreasi (RV) yang mampu menarik pelancong seperti di Kampung Mangkuk, Setiu dan Pulau Kekabu di Marang.
Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) juga perlu dipertingkat oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan komuniti setempat. Program seumpama ini dapat diperkasa dengan penambahan bilangan kawasan CBT berdasarkan keunikan kawasan dan produk yang dihasilkan.
“Melalui program CBT juga, pemuliharaan alam semula jadi yang mampan, kesenian, kebudayaan dan warisan Terengganu dapat diteruskan,” titah baginda.
Sultan Mizan turut menitahkan supaya semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemilik hotel dan tetamu pulau menjaga serta mengawasi keadaan sekitar supaya keindahan, keunikan dan khazanah laut tidak tercemar.
Titah baginda, kerajaan negeri perlu mengambil serius perkara itu dengan memperketat langkah penguatkuasaan peraturan dan prosedur operasi standard di kawasan pelancongan bagi mendisiplinkan pemain industri