19 JUN: Penganjuran Majlis Ilmu MADANI adalah selari dengan usaha memberi kefahaman mengenai maksud negara MADANI yang digagaskan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada orang ramai.
Perdana Menteri itu berkata, ia terutamanya membabitkan nilai asas pembentukan negara MADANI iaitu akidah yang kukuh, akhlak yang baik serta pembentukan sahsiah maknawiyah.
“Gunakan ini untuk menerapkan nilai dalam pelbagai bidang, dalam kemampanan ekonomi, dalam teknologi digital, dalam konsep ihsan dan rahmah untuk mengurangkan beban rakyat miskin serta pembelaan umat secara keseluruhan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan ringkas beliau ketika menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Terdahulu, Anwar, yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Kompleks Seri Perdana pada jam 7.15 malam dan menunaikan solat Maghrib bersama kira-kira 300 jemaah, dengan dipimpin oleh Imam Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria.
Perdana Menteri kemudian meluangkan masa kira-kira sejam mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama tiga tokoh jemputan iaitu Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr Ekrima Sabri; ulama dari United Kingdom, Syeikh Ahmed Mohamed Saad Al-Maliki Al-Azhari Al-Hasani dan ulama dari Gambia, Syeikh Muhammad Haydara Al-Jilani