22 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini.
Ia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob minggu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Pembubaran itu dilakukan lima hari lebih awal, berbanding tarikh tamat DUN pada 27 Jun ini.
Ia menyaksikan bermula hari ini Kelantan ditadbir kerajaan negeri sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.
Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
Kelantan mempunyai 45 kawasan DUN yang menyaksikan perebutan antara Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu, PAS menang 37 kerusi sekali gus mengekalkan tampuk pentadbiran negeri sejak tahun 1990.
Sementara itu BN memperoleh lapan pada PRU-14 lalu.
Bagaimanapun, satu kerusi milik parti itu jatuh ke tangan BERSATU selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO.
Selain Kelantan, kerajaan negeri Selangor mengumumkan pembubaran pada Jumaat ini diikuti Pulau Pinang dan Kedah 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 30 Jun manakala Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran.