22 JUN : Tindakan mempolitikkan isu pemeteraian Triti Laut Sulawesi antara Malaysia-Indonesia amat mendukacitakan kerana ia membabitkan kedaulatan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan demi meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Sangat malang apabila isu penting berkaitan kedaulatan negara dimanipulasi sedemikian rupa bagi meraih dan menagih dokongan politik yang kita sedia maklum keadaan politik mungkin disebabkan pilihan raya dan sebagainya.
“Kita sewajarnya dalam konteks ini tidak bermain dengan politik hal berkaitan kedaulatan negara, sepatutnya kita duduk bersama,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media mengenai Triti Persempadanan Laut Wilayah Di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (SEPARA) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Indonesia, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, Mohammad Zaki Mohd Ghazali.