23 JUN: Semua pemain industri pelancongan digesa menggunakan mata wang Malaysia (RM) bagi caj bilik penginapan dan perkhidmatan kepada pelancong.
Gesaan itu dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dimana menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sekiranya mereka menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (USD), ia tidak memberi jaminan dapat terus kukuh dalam memberi manfaat kepada industri berkenaan.
“Saya berpandangan kita mesti mempunyai keyakinan dengan negara kita sendiri dan mesti ingat sekarang USD kukuh, tetapi belum tahu selama mana nilai mata wang ini akan kekal, mana tahu suatu hari nanti semua orang tidak mahu lagi menggunakan mata wang ini… apa yang akan berlaku?
“Hal ini kerana kita tahu di beberapa negara, USD tidak berapa kukuh kerana terdapat beberapa bank ‘gulung tikar’. Kita memahami keadaan ini (nilai ringgit menurun berbanding USD) dan sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedaya upaya melihat bagaimana cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (Mybha), semalam.
Pada majlis itu, beliau menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Mybha bagi membantu ahli persatuan memperbaiki perkhidmatan mereka dengan mengadakan kursus atau dialog berkaitan industri.
King Sing berkata demikian susulan hasrat Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) yang mahu mengenakan caj bilik dalam matawang USD.
Pada 20 Jun lalu, Presiden MAHO, Teo Chiang Hong menggesa hotel meningkatkan kadar bilik dalam usaha meningkatkan hasil dan mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran dalam USD kepada pelancong bagi mengurangkan kos lebih tinggi daripada kenaikan gaji minimum, bayaran lebih masa dan caj elektrik.
King Sing berkata, pihaknya memohon kerjasama rakyat untuk bersama-sama kerajaan mempromosikan Malaysia dalam meyakinkan pelabur datang dan melabur di negara ini.