23 JUN : Kenaikan tarikf elektrik tidak akan dialami pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik terbaharu ini.
“Ini merupakan 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Pelarasan Tarif Elektrik Di Bawah Mekanisme Imbalance Cost Pass Through (ICPT) Di Semenanjung Bagi Tempoh 1 Julai Hingga 31 Disember 2023, hari ini.
Tambah Nik Nazmi, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan pula akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.
Kata Nik Nazmi lagi, kerajaan dalam pada itu, bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tersebut
Sementara itu, beliau memberitahu, pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembetungan akan menikmati penurunan.
“Ini ekoran purata harga bahan api menurun sedikit dari AS$224 (RM1.05 juta) per metrik tan (Julai-Disember 2022) kepada AS$173.50 (RM811.37) per metrik tan (Januari-Jun 2023).
“Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu USD79 (RM369.44) per metrik tan,” katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.
Nik Nazmi menjelaskan, di bawah pelaksanaan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), pelarasan tarif elektrik bagi pengguna Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini adalah seperti berikut:
1. Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.
2. Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.
3. Kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.
4. Pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.