Kerajaan takkan pertahan rasuah
24 JUN: Kerajaan tidak akan mempertahan rasuah sama ada pemimpin berkenaan berada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam membersihkan imej negara yang terkenal dengan rasuah di mata dunia.
“Saya tak akan pertahan (rasuah) parti dalam kerajaan, luar kerajaan, rundingan, ambil komisyen. Tolong hentikan. Saya tidak akan pertahankan, sama ada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan.
“Kita kena kerja kuat tukar peta politik negara kita. Jangan hina, jangan fitnah.
“Orang kata Anwar ini keras sangat. Isu rasuah, rasuah. Ya. Sebab bila saya jumpa pelabur asing, mereka kata negara kamu korup,” katanya dalam Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Kira-kira 1,000 pelajar dan mahasiswa dari seluruh Negeri Sembilan hadir dalam program berkenaan yang memberi ruang kepada peserta bertanya soalan kepada Perdana Menteri.
Anwar berkata, beliau mahu institusi pengajian tinggi menjadi gedung cemerlang dan seharusnya generasi muda bertindak lebih baik daripada apa yang diwarisi mereka.