26 JUN: Khutbah Arafah berbahasa Arab bagi musim haji 1444H/2023M akan disiarkan secara langsung dalam 20 bahasa termasuk Bahasa Melayu.
Setiausaha Bahagian Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal al-Haramain, Ahmad bin Abdul Aziz al-Humaidi berkata, selain Bahasa Melayu, terdapat enam bahasa tambahan yang turut akan ditampilkan pada tahun ini untuk khutbah Arafah iaitu Sepanyol, Portugal, Jerman, Filipina, Itali dan Bosnia.
“Lebih dari 274 juta orang di seluruh dunia telah mendapat akses kepada khutbah Arafah pada musim haji tahun 1443H/2022M yang lepas hasil tranformasi digital dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Ahmad turut berkata, bagi musim haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.
“Kami telah mengesan bahawa penduduk di Amerika Selatan tidak mendapat akses untuk mendengar khutbah Arafah pada musim haji tahun lepas.
“Justeru, kami permudahkan akses dengan menyediakan perisian yang boleh dimuat turun dari laman web agensi ini dan di semua platform media sosial,” katanya.
Beliau berkata terdapat lebih 40 penterjemah terlatih dan berpengalaman di agensi itu, dan bagi menjaga ketepatan maksud khutbah, kesemua mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (MA), ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang bahasa selain latar belakang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.
Antara bahasa utama untuk terjemahan ialah Inggeris, Perancis, Mandarin, Benggali, Russia, Melayu, Urdu, Parsi, Hausa dan Turkiye.
Bagi umat Islam Malaysia yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Arab, terjemahan khutbah ke Bahasa Melayu boleh diikuti menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa.