26 JUN : Negara menunjukkan tanda positif dalam peralihan kepada tenaga mesra alam dan sifar karbon, sekali gus menjelaskan Malaysia tidak menolak usaha memelihara alam sekitar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun negara yang dilihat lebih ke depan dalam hal ini adalah China, Korea Selatan dan Jepun yang komited mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emissions).
Negara India dalam masa yang sama turut memasang impian sama dalam mencapai matlamat ini.
“Sementara beberapa negara sedang bersiap sedia untuk peralihan ke tenaga lebih bersih, ada negara yang masih bergelut untuk sediakan akses kepada elektrik, bahan api memasak yang bersih dan tenaga selamat
Kemampuan untuk berbuat demikian kekal menjadi kebimbangan, terutamanya melibatkan negara membangun Asia.
“Di negara tersebut, rakyatnya tidak memandang terlalu jauh ke hadapan tapi mungkin masih bergelut untuk bayar bil untuk minggu depan dan sediakan makanan di meja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Persidangan Asia Tenaga 2023 ‘Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Perdana Menteri, lebih 75 peratus tenaga yang digunakan di Asia datang daripada hidrokarbon dan menjelang 2030, permintaan diramal berganda.
“Di ASEAN, hidrokarbon akan terus menjadi sebahagian daripada campuran tenaga untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.
“Walaupun begitu, sembilan daripada 10 negara di ASEAN telah mengikrarkan sasaran sifar bersih pada COP26 (Sidang Kemuncak Perubahan Iklim),” ujarnya.
Tambah beliau, Asia perlu mengambil setiap peluang untuk dialog dan tindakan selanjutnya bagi merancang untuk membolehkan setiap negara mempunyai hak untuk pembangunan dan pada masa sama, menanam aspirasi negara rendah karbon.
Sehubungan itu, Anwar berkata, pelabur dan pembiaya berisiko berhadapan kerugian sekiranya tidak beralih ke Asia.
Ini kerana, Asia dilimpahi dengan sejumlah besar sumber semula jadi, potensi tenaga boleh diperbaharui serta populasi yang kian meningkat yang tidak menolak inovasi bersama selain semakin menghargai ekonomi hijau.
Menurutnya, terdapat potensi lagi untuk rantau Asia berkembang sebagai pemain dalam rantaian nilai sifar bersih, sama seperti sumber biodiversiti yang kaya dan peratusan tinggi litupan hutan yang menawarkan amat banyak penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
“Selain membangunkan peluang hidrogen dan CCS (penangkapan dan penyimpanan karbon) untuk menyimpan karbon, dengan inovasi bateri dan penyimpanan elektrik berjalan dengan baik, terdapat peluang untuk memajukan mineral nadir bumi serta mewujudkan ekosistem kondusif bagi mengukuhkan rantaian bekalan,” katanya dalam ucaptama beliau.