27 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi esok selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ia bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diperkenankan di bawah Fasal 44 (2), Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan pembubaran itu, katanya, kerajaan negeri kini berperanan sebagai kerajaan sementara.
“Tuanku Sultan sudah memperkenankan tarikh cadangan pembubaran DUN seperti dipersembahkan pagi ini,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengadap dan persembahkan dokumen serta tarikh cadangan pembubaran DUN negeri bagi memberi laluan kepada PRN.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang memasuki pintu pagar utama Istana Syarqiyyah di Chendering, kira-kira jam 8.38 pagi dan keluar pada jam 9.18 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS berjaya menguasai 22 kerusi daripada 32 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Kerusi DUN dimenangi BN adalah Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Kuala Besut, Jertih dan Hulu Besut.
Selain Terengganu, PRN turut membabitkan lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Difahamkan, dokumen pembubaran DUN negeri yang diperkenankan Sultan Mizan akan diserahkan kepada Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali untuk dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).