28 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubar pada 1 Julai ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu, Aminuddin dilihat tiba di Istana Hingap, di sini, jam 10 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), PH mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi.
Tempoh mandat bagi DUN Negeri Sembilan akan berakhir 30 Jun ini.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.