28 JUN: Buat pertama kali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai sesi takbir raya sempena sambutan Aidiladha dibuat secara langsung.
Sesi berkenaan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri pertama yang mengadakan bacaan takbir raya secara langsung berbanding sebelum ini yang hanya dibuat secara rakaman.
Laungan takbir raya secara langsung itu akan diadakan di Masjid Taman Rakan, Kajang sejurus selepas selesai solat fardu maghrib.
Terdahulu, Anwar tiba di masjid berkenaan pada jam 7.20 malam dan terlebih dahulu berbuka puasa sebelum menunaikan solat maghrib secara berjemaah.
Ketibaan beliau yang lengkap dengan pakaian baju Melayu disambut beberapa ahli jawatankuasa masjid berkenaan.
Laungan takbir raya secara langsung itu akan disiarkan sekitar jam 8.10 malam menerusi platform Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Difahamkan, beliau akan menunaikan solat sunat Aidiladha esok di Masjid Putra, Putrajaya.