PM seru ketepikan ego demi kekuatan negara
29 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia mengetepikan ego, kepentingan kaum kerabat dan keluarga demi kekuatan negara tanpa mengira bangsa.
Sambil menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, isteri baginda Hajar dan anak baginda Nabi Ismail dalam menunaikan ketaatan kepada Allah, Anwar juga turut menyeru agar membantu mereka yang lemah dan terpinggir.
Katanya, ia adalah asas keyakinan dalam membawa amanah dan menunaikan cita-cita para pewaris bangsa.
“Ini tekad dan sumpah kita. Bersama kita satukan kekuatan, mara demi sebuah negara yang maju, sejahtera dan ihsan terhadap rakyatnya.
“Kepada rakyat Malaysia yang menunaikan haji di tanah suci saya mendoakan agar beroleh haji yang mabrur dan semoga selamat pulang ke tanah air,” katanya dalam perutusan Aidiladha yang disiarkan di akaun Facebooknya hari ini.
Anwar berkata, tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam seluruh dunia melaksanakan ibadah korban sempena memperingati pengorbanan suci Nabi Ibrahim dan keluarga baginda.
“Meski serba kekurangan, di tanah serba gersang dalam daerah yang sepi tidak berpenghuni, namun hakikatnya tetap subur dibasahi keimanan dan kasih sayang serta keikhlasan jiwa menurut perintah yang Maha Esa.
“Pengorbanan inilah yang menjadi asas kepada sebuah perjuangan suci mengembalikan maruah umat dan menjamin keadilan buat semua,” katanya.