29 JUN: Orang ramai tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan termasuk hospital mulai Rabu depan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, peraturan ini tidak terpakai kepada mereka yang positif COVID-19 dima amereka perlu memakai pelitup muka ketika berada di klinik atau hospital serta di dalam pengangkutan awam.
Selain itu, katanya, arahan tempoh pengasingan kes COVID-19 juga dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari onset gejala pertama, juga berkuat kuasa Rabu depan.
“Susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu berkenaan status COVID-19 yang tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) membuat semakan semula dan mengemas kini SOP berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan COVID-19 di negara ini.
“Walaupun beberapa kelonggaran kepada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 diberikan ketika Fasa Peralihan dari pandemik COVID-19 yang bermula sejak 1 April 2022, KKM terus melaksanakan pelbagai dasar dan aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19, bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, kes baharu COVID-19 menurun 53.5 peratus, kematian berkurang 35.3 peratus sejak lima minggu kebelakangan ini.
Mengulas lanjut mengenai pemakaian pelitup muka, beliau berkata, arahan itu hanya dikehendaki ke atas pesakit positif COVID-19 dan kepada petugas kesihatan mengikut amalan kawalan dan pencegahan jangkitan semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.
Katanya, SOP sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka ke atas pesakit COVID-19, semasa berada di dalam pengangkutan awam (kecuali kapal terbang) dan di kemudahan kesihatan.
“Berkuat kuasa Rabu ini, pemakaian pelitup muka ke atas individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung, terutama ketika berada di tempat sesak atau yang mempunyai pengudaraan kurang baik.
“Selain itu, individu yang bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas atau van pekerja dan bas, van sekolah,” katanya.