29 JUN: Kerajaan Turki mengutuk keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan demonstrasi pembakaran kita suci al-Quran di luar masjid di Stockholm.
Malah, ia turut dikecam kerana dibuat pada sambutan Hari Raya Aidiladha iaitu salah satu daripada perayaan paling penting bagi umat Islam.
Kebenaran yang diberikan kepada seorang lelaki yang melakukan pembakaran itu dilihat mungkin mengancam usaha Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum persidangan penting blok tersebut pada bulan depan.
Keputusan untuk membenarkan protes tersebut dilakukan adalah berdasarkan hak kebebasan bersuara, kata polis Sweden, yang turut mendakwa, demonstrasi itu tidak mencetuskan sebarang risiko keselamatan.
Bagaimanapun, protes berkenaan hanya mengundang kemarahan Turki iaitu sebuah negara anggota NATO yang telah menghalang usaha Sweden untuk bergabung.
Sweden dan negara jirannya, Finland secara rasmi memohon untuk menyertai blok tersebut setelah Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Sehubungan itu, Menteri Luar Turki mengutuk protes tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘perbuatan yang keji.’
“Adalah tidak dapat diterima untuk membenarkan tindakan anti-Islam ini dengan alasan kebebasan bersuara. Menutup mata terhadap tindakan keji seperti ini adalah seperti bersubahat dalam tindakan tersebut,” kata Hakan Fidan dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi Kerajaan Turki, Fahrettin Altun dalam ciapan di Twitter menegaskan: “Kami sudah muak dengan kebenaran terhadap Islamofobia dan kebencian berterusan terhadap agama kami oleh pihak berkuasa Eropah terutamanya di Sweden.”
“Mereka yang ingin menjadi sekutu kita dalam NATO tidak boleh bertoleransi atau membenarkan tingkah laku yang merosakkan oleh pengganas Islamofobia dan xenofobia,” katanya.
Sementara itu, lelaki yang membakar al-Quran itu, Salwan Momika, 37, berkata, dia tiba di Sweden lima tahun lalu dari Iraq dan memiliki kerakyatan negara itu.
Salwan turut memberitahu, dia menganggap dirinya sebagai individu yang berpegang kepada hidup tanpa tuhan atau golongan ateis.
Katanya, tindakan yang dilakukannya itu sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara.
“Ini adalah demokrasi. Ia dalam bahaya jika mereka memberitahu kita kita tidak boleh melakukan ini,” dakwa Momika.