30 JUN: Bank-bank disaran terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan.
Ia termasuklah bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS,” katanya.
Beliau turut mengingatkan industri perbankan bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.
Anwar sebelum ini telah mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan berkaitan ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.
Sesi dialog ini dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jessica Chew, serta pemimpin bank seperti AMMB Holdings Bhd (AmBank), Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.
Menurut Anwar, industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat.