30 JUN : Kerajaan sedang memperincikan cadangan untuk meletakkan aktiviti perniagaan karbon di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Memurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, segala isu berkaitan dengan karbon berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Sekarang ini kerajaan sedang berbincang sama ada mungkin kita dapat pisahkan usaha penyimpanan karbon dan carbon trading untuk diletakkan di bawah KPK.
“Ini juga selari dengan ketetapan diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa karbon adalah satu komoditi, ini sedang diperincikan,” katanya.
Fadillah berkata, usaha meletakkan perniagaan karbon di bawah KPK juga dijangka akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan perubahan kementerian
“Di peringkat Kerajaan Persekutuan juga kita sedang membincangkan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berhubung perniagaan karbon,” katanya.
Pada 27 April lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata karbon merupakan satu komoditi yang boleh diniagakan, sehubungan itu beliau mencadangkan agar ia diletakkan di bawah KPK.